Pengenalan
Komputer merupakan satu alat elektronik yang
kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. Komputer didapati sesuai untuk
dijadikan alat bagi membantu guru dalam proses pengajaran pembelajaran kerana
komputer berkemampuan untuk menerima dan memproses data.
Giesert dan Futrell
(1990) menegaskan bahawa seseorang guru yang menggunakan komputer dalam
pengajaran pembelajaran boleh dikategorikan sebagai mempunyai bakat dan
kebolehan tambahan. Pengajaran yang disertakan dengan bahan bantu belajar yang
terkini akan dapat menambahkan minat pelajar mempelajari sesuatu bidang
pelajaran.
Di samping itu jika
komputer dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru ia akan mampu
menyelesaikan sebarang masalah pengajaran pembelajaran. Ini selaras dengan
pendangan Heinich (1993) yang mengatakan bahawa komputer dapat memperkayakan
teknik pengajaran. Komputer adalah pelengkap kepada penyampaian pengajaran yang
berkesan. Sandholtz (1997) telah menyuarakan bahawa penggunaan teknologi boleh
memudahkan pengajaran pembelajaran.
Sehubungan dengan itu,
pihak kerajaan atau Kementerian Pendidikan khususnya sentiasa mengadakan kursus
pengenalan komputer dan membina bahan berbantukan komputer bagi guru pelatih
dan guru dalam perkhidmatan. Oleh itu, satu program pendidikan komputer bagi
guru pelatih bukan sahaja merupakan pembelajaran mengenai komputer tetapi juga
pembelajaran berbantukan komputer.
Penggunaan
Komputer Dalam Pengajaran Pembelajaran
Hilary Mc Lellan (1991) menegaskan bahawa komputer
dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengajaran pembelajaran dalam bilik
darjah. Beliau menekan tentang kepentingan seseorang guru itu mempunyai
pengetahuan sekurang-kurangnya pada peringkat asas dalam mengendalikan
perkakasan dan perisian komputer sebelum mereka dapat menghasilkan kaedah
pengajaran yang berkesan dalam bilik darjah.
Diana Laurillard
(1992) menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan komputer dapat meningkatkan
pemahaman konsep teoritikal. Beliau berpendapat bahawa kaedah simulasi dan
bantuan komputer dapat meningkatkan tahap pemahaman pelajaran dengan mudah.
Heinich (1993)
menyatakan komputer berkemampuan untuk mengawal dan mengurus bahan pengajaran
yang banyak. Kemampuan komputer berinteraksi dengan penggunanya membolehkan
guru menerapkan pengajaran pembelajaran dengan lebih mudah dan menarik.
Pendapat ini disokong oleh Sandholtz (1997) yang menyatakan bahawa penggunaan
teknologi di sekolah boleh memudahkan pengajaran pembelajaran. Maka dapat
dikatakan bahawa komputer mempunyai kelebihannya menjadi media yang sesuai dan
berkesan dalam konteks pengajaran pembelajaran dalam bidang pendidikan.
Persepsi
Guru Terhadap Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran Pembelajaran
Bliss (1986) mengenal pasti beberapa faktor yang
mempengaruhi pelaksanaan pembelajaran berbantukan komputer di kalangan guru.
Antara isu yang penting ialah perubahan peranan guru. Melalui kajiannya,
terdapat guru yang mempunyai sikap bimbang dan tidak yakin terhadap diri
sendiri untuk menguasai teknologi baru.
Dalam aspek keyakinan
dan keselesaan menggunakan teknologi komputer, Heywod dan Norman (1988) serta
Blease dan Cohen (1990) mempunyai dapatan yang sama. Menurut dapatan mereka,
apa yang dititikberatkan oleh guru adalah keyakinan dan keselesaan dalam
menggunakan komputer. Somekh (1989) juga mempunyai dapatan yang hampir sama.
Somekh mendapati bahawa pengalaman guru yang negatif atau tidak berkesan semasa
mencuba menggunakan komputer akan mendorong guru untuk menolak inovasi
komputer.
Rhodes dan Cox (1990)
mendapati peningkatan beban kerja telah menghalang penggunaan komputer di
kalangan guru. Di samping itu, kekurangan perisian yang berkualiti juga
menyebabkan guru menganggap bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran
pembelajaran tidak berkesan. Berdasarkan dapatan kajian, persepsi guru terhadap
penggunaan komputer dalam pengajaran pembelajaran adalah penting untuk
menentukan kajayaan atau kegagalan penggunaan komputer dalam alam pendidikan.
Peranan
Guru Dalam Penggunaan Komputer Dalam Pendidikan
Menurut Woodrow (1992), kejayaan dalam apa jua inovasi
pendidikan atau program teknologi pendidikan banyak bergantung kepada sokongan
dan sikap guru. Menurut Sufean (1991), sikap yang positif lahir daripada
keinginan dan motivasi yang tinggi terhadap sesuatu perkara. Keberkesanan
penggunaan teknologi moden banyak bergantung kepada guru yang rela menukar dan
mencuba kaedah pengajaran yang baru dan moden (German, 1997).
Dupagne dan Krendl
(1992), semasa membuat ulasan karya tentang sikap guru terhadap komputer,
mendapati bahawa pengalaman menggunakan komputer dapat memupuk sikap positif
terhadap teknologi komputer. Guru memerlukan masa dan kefahaman tentang
bagaimana teknologi dapat menolong mereka (Chin dan Hortin, 1996). Mengikut Gan
(1991), guru hanya akan menggunakan komputer bila sudah biasa dan berasa selesa
dengan penggunaannya.
No comments:
Post a Comment