Sunday 15 December 2013

Perkembangan Pendidikan Khas Dalam dan Luar Negara

SEJARAH PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

Pendidikan khas telah bermula di Malaysia sejak awal tahun 1920-an di kalangan sukarelawan yang membuka sekolah-sekolah untuk pelajar bermasalah atau kurang upaya penglihatan dan pendengaran. menunjukkan tarikh-tarikh penting dalam perkembangan pendidikan khas.  

Di Malaysia pendidikan khas formal bermula pada tahun 1948 dengan tertubuhnya
Sekolah Rendah Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bharu untuk kanak-kanak buta. Pada tahun 1954 Sekolah Persekutuan Kanak-Kanak Pekak di tubuhkan di Pulau Pinang untuk kanak-kanak pekak. Program pemulihan ke atas pelajar “lembam” (lemah dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira pada tahap umurnya) bermula pada tahun 1978. Manakala program untuk kanak-kanak ‘Bermasalah Pembelajaran’ baru bermula pada tahun 1988 apabila buat pertama kali Kementerian Pendidikan memulakan kelas perintis di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur. Kelihatan bahawa perkembangan pendidikan khas di Malaysia bertumpu kepada kumpulan kanak-kanak buta, pekak, dan bermasalah pembelajaran.



PENDIDIKAN KHAS DI LUAR NEGARA

Seperti juga di Malaysia, pada peringkat permulaannya pelaksanaan pendidikan khas di barat, khususnya di Britain dan di Amerika tidak begitu mendapat perhatian. Namun, berbanding di Malaysia perkembangan dan pembangunan di negara barat lebih cepat dan maju. Perbincangan seterusnya difokuskan di Britain dan Amerika supaya anda dapat membandingkan perkembangan dan pembangunannya dengan apa yang berlaku di Malaysia. Di Malaysia, kepesatan pembangunan pendidikan khas bermula apabila Akta Pendidikan 1996 diwartakan dan di Amerika apabila Public Law 1975 diperkenalkan. Manakala di Britain pengumuman Warnock Report 1978 merancakkan perkembangan pendidikan khas. Kedua-dua negara tersebut mendahului lebih kurang 20 tahun lebih awal daripada Malaysia yang kesannya amat besar dari aspek pertumbuhan dan perkembangan serta kemajuan dalam pendidikan khas. Dalam hal ini, selain daripada kesedaran masyarakat terhadap pendidikan khas, peranan undang-undang atau polisi pemerintah merupakan penggerak utama untuk membangunkan pendidikan khas. Sebagai perbandingan, kita akan teliti secara umum perkembangan dan pembangunan pendidikan khas di Amerika dan di Britain.

Perkembangan Pendidikan Khas di Amerika Syarikat
Pada 29 Novermber, 1975 Kongres (atau Parlimen) Amerika Syarikat meluluskan Public Law 94-142 yang dahulunya dikenali sebagai Akta Pendidikan untuk Semua Kanak-Kanak Cacat (Education for All Handicapped Children Act). Undang-undang ini menjamin bahawa setiap individu di antara umur 3 hingga 21 tahun akan menerima pendidikan percuma dalam persekitaran yang seberapa boleh tidak menghalang perkembangan intelek mereka. Undang-Undang ini memberi kuasa kepada negeri-negeri (Amerika Syarikat terdiri daripada 50 negeri) dan pihak berkuasa tempatan melindungi hak serta memenuhi keperluan bayi, kanak-kanak dan belia yang kurang upaya serta keluarga mereka. Melalui undang-undang ini, kanak-kanak yang kurang upaya dibenarkan belajar bersama dengan kanak-kanak normal atau biasa. Bagaimana pun, sekiranya kekurangan upaya kanak-kanak itu melampaui dan didapati dia tidak akan maju dalam kelas biasa, dia ditempatkan dalam kelas khas. Setiap sekolah disediakan dengan seorang Guru Pendidikan Khas.

Pada tahun 1990, Public Law 94-142 diberi nama baru dan diperluaskan. Kini ia dipanggil Akta Pendidikan Individu Kurang Upaya (Individuals with Disabilities Education Act, Public Law 94-476) atau lebih dikenali dengan singkatan IDEA. Undang-undang in menunjukkan betapa penting hak orang kurang upaya dilindungi.

Antara yang ditekankan ialah:
  • Penyediaan pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai kepada kanak-kanak berkeperluan khas (Provide a free and appropriate public education). Hal ini bermakna tidak ada sebarang bayaran dikenakan ke atas kanakkanak khas terhadap persekolahan mereka. Semuanya dibiayai oleh kerajaan yang mendapat hasil daripada sistem percukaian negara, yang kemudiannya disalurkan kepada sekolah dan kanak-kanak ini.
  • Pendidikan bagi kanak-kanak khas dilaksanakan dalam persekitaran yang tidak   menghalangkan mereka untuk berkembang (Educate children in the least restrictive environment). Hal ini membawa pengertian bahawa tidak ada pengasingan sama ada dalam bentuk sekolah atau kelas dalam pelaksanaan pendidikan khas. Kanakkanak khas boleh belajar di dalam sekolah awam biasa dan di dalam kelas kanakkanak biasa. Pendidikan bercorak sebegini dikenali sebagai “pendidikan inklusif”
  • Kanak-kanak khas dilindungi daripada sebarang elemen bercorak diskriminasi dalam penilaian pendidikan (Protection against discrimination in testing). Penilaian pendidikan dilaksanakan dalam pelbagai cara. Namun dengan terlaksananya undang-undang ini, penilaian ke atas kanak-kanak khas hendaklah mengambil kira ciri-ciri yang ada pada kanak-kanak khas dan hendaklah disesuaikan dengan kecacatan atau kekurangan mereka.
  • Penglibatan ibu bapa dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan setiap murid. Memberi dan membuka ruang kepada ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak khas untuk melibatkan diri dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan untuk anak-anak mereka. Hal ini tidak diberikan penumpuan sebelum ini.


Penyediaan rancangan pendidikan individu bagi setiap murid khas, iaitu guru pendidikan khas dikehendaki menyediakan rancangan pendidikan individu bagi setiap murid khas dengan mengikut prosedur yang ditetapkan. Hal ini bagi membolehkan guru merancang objektif yang hendak dicapai oleh murid khas dalam satu-satu jangka masa tertentu semasa kanak-kanak khas ini bersekolah dengan mengambil kira potensi dan kekurangan seseorang kanak-kanak khas. Dalam hal ini konsep ‘kolaboratif’ dalam pendidikan diamalkan iaitu satu konsep yang mana pelbagai pihak seperti ibu bapa, kaunselor dan guru, terlibat sama dalam merancang pendidikan murid-murid khas. 

Sebelum IDEA, ramai kanak-kanak seperti Michael tidak diberi peluang pendidikan Contohnya, pada tahun 1970, hanya seorang daripada lima kanak-kanak kurang upaya berpeluang pergi ke sekolah. Kebanyakkan negeri-negeri di Amerika Syarikat mempunyai undang-undang yang tidak membenarkan kanak-kanak pekak, buta, kecelaruan emosi atau kerencat mental menghadiri sekolah biasa. Oleh kerana IDEA, kini program intervensi awal disediakan untuk lebih 200,000 bayi dan kanak-kanak kurang upaya dan pada tahun 2000 di Amerika Syarikat. Kira-kira-kira 6.5 juta kanak-kanak dan belia menerima pendidikan khas dan perkhidmatan lain bagi memenuhi keperluan mereka. Lebih ramai pelajar kurang upaya menghadiri sekolah di kawasan perumahan masing masing yang dahulunya tidak terbuka untuk mereka. Pelajar kurang upaya yang belajar dalam kelas atau bangunan terasing telah berkurangan dan kini belajar bersama dengan pelajar lain. IDEA dilihat sebagai satu pembaharuan yang mana pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas diberi perhatian yang lebih khusus. Melalui akta ini juga konsep ‘pendidikan untuk semua’ dan ‘pendemokrasian pendidikan’ diperkemaskan dan ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak khas dilibatkan sama dalam perancangan keperluan pendidikan anak-anak mereka. Di samping itu konsep ‘kolaborasi’ dalam pendidikan yang membabitkan pihak dalam pelbagai kepakaran disepadukan untuk kepentingan masa depan kanak-kanak berkeperluan khas. Akta ini juga dijadikan asas panduan dalam pelaksanaan pendidikan khas di sesetengah negara lain.



Perkembangan Pendidikan Khas di Britian

Pada tahun 1974, Jawatankuasa Inkuiri Pendidikan Kanak-kanak Cacat Warnock ditubuhkan dengan tujuan mengkaji semula pendidikan khas di Britain. Laporan Warnock yang diumumkan pada 1978 banyak mempengaruhi perkembangan dan pembangunan pendidikan khas di Britain. Walaupun cadangan-cadangan yang dikemukan dalam laporan itu tidak dilaksanakan serta merta tetapi laporan Warnock dijadikan asas dalam pelaksanaan pendidikan khas dan cadangan-cadangan yang dikemukan dimasukkan dalam akta pendidikan pada tahun-tahun berikutnya. 

Umpamanya, sebelum laporan ini dikemukakan, konsep pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah berasaskan kepada ‘pengasingan’ iaitu kanak-kanak berkeperluan khas belajar di sekolah khas yang menyekat dan menghalang mereka daripada bergaul dengan kanak-kanak biasa. Laporan ini menekankan kepada konsep percampuran antara kanak-kanak berkeperluan khas dengan kanak-kanak biasa yang dikenali sebagai ‘integerasi’ atau ‘inklusif’ diperluaskan. Konsep integrasi atau inklusif menekankan bahawa kanak-kanak berkeperluan khas perlu belajar di sekolah harian biasa dan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak biasa. Dasar ini dilaksanakan dan diamalkan sehingga ke hari ini.

Dasar ini juga dijadikan panduan kepada negara-negara lain dalam melaksanakan pendidikan khas. Akta Pendidikan 1981 pula meletakkan kepentingan peranan ibu bapa dalam pelaksanaan pendidikan khas. Manakala Akta Kanak-kanak 1989 (Children’s Act, 1989) memperkukukan pelaksanaan pendidikan khas melalui dua perubahan yang ditekankan.

Pertama, amalan membuat diagnosis ke atas kanak-kanak berkeperluan khas yang sebelum ini dilakukan oleh hanya ahli perubatan dipinda kepada konsep ‘koloboratif’ iaitu, diagnosis dilakukan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam pendidikan khas mengikut kepakaran dan keperluan. Umpamanya, ahli psikologi pendidikan membuat diagnosis ke atas keperluan mengikuti pendidikan dan ahli patologi bahasa membuat penilaian terhadap keupayaan berbahasa ke atas kanak-kanak berkeperluan khas. Apa yang jelas, akta ini memberi ruang kepada pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran dalam menentukan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.

Keduanya, konsep ‘pengasingan’ tempat belajar kanak-kanak berkeperluan khas diganti dengan konsep integrasi atau inklusif iaitu kanak-kanak berkeperluan khas belajar bersama dengan kanak-kanak biasa dalam sekolah dan kelas yang sama. Kedua-dua akta (Akta Pendidikan 1981 dan Akta Kanak-kanak 1989) tersebut telah mengambil kira cadangan-cadangan dalam Laporan Warnock. Hal ini selari dengan apa yang berlaku di Amerika. Perubahan yang berlaku berkait rapat dengan kesedaran masyarakat dan dasar semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di Britain.


2 comments:

  1. Assalamualaikum. Saya nak minta pendapat, kalau soalan tu minta konsep kanak-kanak berkeperluan khas apa isi yang patut kita letakkan?

    ReplyDelete
  2. Seronok baca ...Bunga - bunga bahasa yang menyegarkan...Lontaran fakta yang tepat dan kupasan yang menarik...Pohon share idea yer

    ReplyDelete