Sunday 15 December 2013

Pendidikan Khas - Masalah Pembelajaran

PENDIDIKAN KHAS MASALAH PEMBELAJARAN

Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran merupakan kanak-kanak yang telah dikenalpasti dan dan disahkan oleh pakar Profesional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak dalam kebolehan berikut :
  • Kebolehan kognitif
  • Tingkah laku / perkembangan sosial
  • Pengguasaan bahasa ( Lisan / Pertuturan )
  • Keupayaan membaca
  • Kemahiran perkembangan ( Development Skill )
  • Kemahiran

Antara kecacatan yang dialami oleh Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran ialah:
  • Lembam ( Akibat kecacatan otak )
  • Autistik
  • Sindrom Down
  • Terencat Akal Ringan
  • Terencat Akal Sederhana
  • Hyperaktif
  • Hipoaktif
  • Selebral Palsy
  • Emosi / Tingkah laku
  • Pertuturan
  • Epilepsi
  • Pelbagai Kecacatan


Rasional
  • Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran berupaya untuk menerima pendidikan yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mereka secara menyeluruh. Hanya sekadar mereka kurang bertindak balas kepada strategi pengajaran dan pembelajaran biasa. Oleh itu,satu program khas perlu disediakan untuk memenuhi keperluan murid-murid ini mengambil kira aspek-aspek seperti masa, bahan, budaya, kelas, teknik mengajar, bantuan kepakaran dan penglibatan masyarakat.


Matlamat
  • Kurikulum kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah bertujuan melengkapkan kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran dengan kemahiran-kemahiran yang tertentu bagi membantu mereka mencapai perkembangan yang menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial agar mereka boleh menjadi satu ahli masyarakat yang berguna dan mampu berdikari.


Objektif :
Setiap kanak-kanak diberi peluang dan bimbingan yang seluas-luasnya untuk membolehkan mereka  :
  • Menguasai kemahiran bergaul
  • Menguasai kemahiran berkomunikasi
  • Mengetahui dan memperkembangkan perasaan ingin tahu mengenal hal diri dan alam sekeliling
  • Menjaga keselamatan diri
  • Mengurus hal-hal berkaitan kehidupan seharian
  • Mempunyai keyakinan diri dan konsep kendiri yang positif
  • Melibatkan diri dalam kegiatan rekreasi
  • Memahami keperluan perkembangan jasmani serta menguasai kemahiran motor
  • Menghayati dan mengamal nilai-nilai murni
  • Mengembangkan potensi, bakat daya kreatif dan intelek
  • Membolehkan murid melakukan praktis asas dan dapat menjalankan kerja dengan sendiri


Ciri-ciri kanak-kanak bermasalah pembelajaran
Terdapat banyak ciri-ciri kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Antaranya ciri-ciri yang mungkin dapat menolong pakar-pakar diagnostik dan guru-guru dalam mengenalpasti dan mengajar kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran :

Ciri-ciri Fizikal
  • Kanak-kanak yang mempunyai tahap keupayaan mental yang disebabkan oleh faktor-faktor organik adalah lebih kecil bentuk badan, berat badan dan koordinasi motor. Kanak-kanak ini tidak banyak beza daripada kanak-kanak tipikal

Ciri-ciri Intelek
  • Mempunyai daya ingatan yang rendah dan penguasaan kebolehan yang terhad dalam bidang generalisasi bahasa.Kesulitan dalam pengamatan dan memahami konsep serta daya kreatif adalah rendah.
  • Hanya dapat dipelajari oleh kanak-kanak biasa berumur 6 tahun pada peringkat umur 8 tahun atau lebih.

Ciri-ciri tingkah laku
  • Mempunyai bidang perhatian yang singkat atau kurang tumpuan terhadap sesuatu
  • Mudah kecewa disebabkan pengalaman kegagalan yang berulang-ulang kali hasil daripada pengharapan masyarakat supaya mereka berfungsi sesuai dengan umur mereka
  • Sikap dan nilai sosial kanak-kanak tidak selaras dengan tingkah laku murid-murid biasa
  • Minat kanak-kanak ini adalah selaras dengan kanak-kanak yang mempunyai mental yang sama dengan mereka.
  • Sila dapatkan Borang Pendaftaran Kanak-kanak Berkeperluan Khas :
  1. Jabatan Pelajaran Negeri-negeri
  2. Sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas
  3. Hospital-hospital Kerajaan
  4. Jabatan Kebajikan Masyarakat

Perkhidmatan Yang Diberikan :
  • Program Pendidikan Khas disekolah-sekolah yang dibuka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
  • Program-program atau Pusat Asuhan yang ditubuhkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat

Badan-badan Perseorangan atau NGO yang berdaftar dengan Kementerian berkaitan
Keistimewaan Berdaftar Dengan Pendidikan Khas :
  • Pendidikan percuma disekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Kelebihan apabila layak menduduki Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia
  • Bantuan Orang Kurang Upaya
  • Potongan tambang pengangkutan awam
  • Potongan sewaan penggunaan telefon apabila memenuhi syarat umur ( sila dapatkan penjelasan dari Kementerian-kementerian berkaitan )

Sasaran :
  • Murid-murid terencat akal ringan yang :
  • Telah disahkan oleh doctor pakar kanak-kanak yang bertauliah
  • Boleh mengurus diti tanpa bantuan orang lain.
  • Tiada kecacatan fizikal yang teruk
  • Tiada mengalami masalah sikap / tingkah laku luarbiasa seperti hyperaktif ( sukar dikawal ), ganas atau mental yang teruk
  • Tiada mengalami sebarang penyakit dalaman seperti sawan, jantung, dan lain-lain.
  • ( percubaan selama 3 bulan diberikan kepada murid-murid baru )



Terencat akal.
  • Diskallulia
  • Disgraphia
  • Disleksia


Autism
  • Bermasalah komunikasi
  • Sukakan rutin
  • Berada didunia sendiri
  • Ekolalia
  • Cederakan diri sendiri
  • Kompulsif tanpa tahu kesan
  • Tidak suka bergaul
  • Tidak ada tentangan mata
  • Kerencatan bahasa
  • Masalah kefahaman
  • Tidak suka disentuh
  • Bermasalah interaksi sosial
  • Pergerakan yang berulang-ulang

Palsi serebrum.
  • Kecacatan anggota tangan, kaki dan tubuh badan
  • Masalah pergerakan
  • Masalah postur
  • Kekejangan
  • Pergerakan tidak terkawal
  • Masalah imbangan badan
  • Masalah komunikasi
  • Masalah motor halus / kasar
  • Masalah tulisan
  • Masalah perkembangan motor halus / kasar


Sindrom Down

Gangguan Penumpuan ADHD
  • Lambat menyiapkan tugasan.
  • Mudah terganggu
  • Masalah tumpuan
  • Masalah mengurus tugasan
  • Cepat lupa
  • Impulsive
  • Membuat tugasan lain tanpa menyiapkan tugasan terdahulu
  • Memerlukan pengawasan yang lebih
  • Masalah menunggu giliran


Hiperaktif
  • Tidak boleh duduk diam
  • Impulsif
  • Tumpuan perhatian singkat
  • Suka mengganggu orang lain
  • Bermasalah Pembelajaran


Pintar Cerdas dan Berbakat.
  • Keupayaan umum yang istimewa.
  • Kebolehan aptitud, bakat dan kreativiti yang tinggi
  • Bermotivasi tinggi untuk belajar dan berjaya IQ yang tinggi
  • Mudah memahami pengajaran dan pembelajaran
  • Menguasai hanya satu atau sesuatu kemahiran dengan mudah dan berkesan


Perkembangan Pendidikan Khas Dalam dan Luar Negara

SEJARAH PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

Pendidikan khas telah bermula di Malaysia sejak awal tahun 1920-an di kalangan sukarelawan yang membuka sekolah-sekolah untuk pelajar bermasalah atau kurang upaya penglihatan dan pendengaran. menunjukkan tarikh-tarikh penting dalam perkembangan pendidikan khas.  

Di Malaysia pendidikan khas formal bermula pada tahun 1948 dengan tertubuhnya
Sekolah Rendah Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bharu untuk kanak-kanak buta. Pada tahun 1954 Sekolah Persekutuan Kanak-Kanak Pekak di tubuhkan di Pulau Pinang untuk kanak-kanak pekak. Program pemulihan ke atas pelajar “lembam” (lemah dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira pada tahap umurnya) bermula pada tahun 1978. Manakala program untuk kanak-kanak ‘Bermasalah Pembelajaran’ baru bermula pada tahun 1988 apabila buat pertama kali Kementerian Pendidikan memulakan kelas perintis di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur. Kelihatan bahawa perkembangan pendidikan khas di Malaysia bertumpu kepada kumpulan kanak-kanak buta, pekak, dan bermasalah pembelajaran.



PENDIDIKAN KHAS DI LUAR NEGARA

Seperti juga di Malaysia, pada peringkat permulaannya pelaksanaan pendidikan khas di barat, khususnya di Britain dan di Amerika tidak begitu mendapat perhatian. Namun, berbanding di Malaysia perkembangan dan pembangunan di negara barat lebih cepat dan maju. Perbincangan seterusnya difokuskan di Britain dan Amerika supaya anda dapat membandingkan perkembangan dan pembangunannya dengan apa yang berlaku di Malaysia. Di Malaysia, kepesatan pembangunan pendidikan khas bermula apabila Akta Pendidikan 1996 diwartakan dan di Amerika apabila Public Law 1975 diperkenalkan. Manakala di Britain pengumuman Warnock Report 1978 merancakkan perkembangan pendidikan khas. Kedua-dua negara tersebut mendahului lebih kurang 20 tahun lebih awal daripada Malaysia yang kesannya amat besar dari aspek pertumbuhan dan perkembangan serta kemajuan dalam pendidikan khas. Dalam hal ini, selain daripada kesedaran masyarakat terhadap pendidikan khas, peranan undang-undang atau polisi pemerintah merupakan penggerak utama untuk membangunkan pendidikan khas. Sebagai perbandingan, kita akan teliti secara umum perkembangan dan pembangunan pendidikan khas di Amerika dan di Britain.

Perkembangan Pendidikan Khas di Amerika Syarikat
Pada 29 Novermber, 1975 Kongres (atau Parlimen) Amerika Syarikat meluluskan Public Law 94-142 yang dahulunya dikenali sebagai Akta Pendidikan untuk Semua Kanak-Kanak Cacat (Education for All Handicapped Children Act). Undang-undang ini menjamin bahawa setiap individu di antara umur 3 hingga 21 tahun akan menerima pendidikan percuma dalam persekitaran yang seberapa boleh tidak menghalang perkembangan intelek mereka. Undang-Undang ini memberi kuasa kepada negeri-negeri (Amerika Syarikat terdiri daripada 50 negeri) dan pihak berkuasa tempatan melindungi hak serta memenuhi keperluan bayi, kanak-kanak dan belia yang kurang upaya serta keluarga mereka. Melalui undang-undang ini, kanak-kanak yang kurang upaya dibenarkan belajar bersama dengan kanak-kanak normal atau biasa. Bagaimana pun, sekiranya kekurangan upaya kanak-kanak itu melampaui dan didapati dia tidak akan maju dalam kelas biasa, dia ditempatkan dalam kelas khas. Setiap sekolah disediakan dengan seorang Guru Pendidikan Khas.

Pada tahun 1990, Public Law 94-142 diberi nama baru dan diperluaskan. Kini ia dipanggil Akta Pendidikan Individu Kurang Upaya (Individuals with Disabilities Education Act, Public Law 94-476) atau lebih dikenali dengan singkatan IDEA. Undang-undang in menunjukkan betapa penting hak orang kurang upaya dilindungi.

Antara yang ditekankan ialah:
  • Penyediaan pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai kepada kanak-kanak berkeperluan khas (Provide a free and appropriate public education). Hal ini bermakna tidak ada sebarang bayaran dikenakan ke atas kanakkanak khas terhadap persekolahan mereka. Semuanya dibiayai oleh kerajaan yang mendapat hasil daripada sistem percukaian negara, yang kemudiannya disalurkan kepada sekolah dan kanak-kanak ini.
  • Pendidikan bagi kanak-kanak khas dilaksanakan dalam persekitaran yang tidak   menghalangkan mereka untuk berkembang (Educate children in the least restrictive environment). Hal ini membawa pengertian bahawa tidak ada pengasingan sama ada dalam bentuk sekolah atau kelas dalam pelaksanaan pendidikan khas. Kanakkanak khas boleh belajar di dalam sekolah awam biasa dan di dalam kelas kanakkanak biasa. Pendidikan bercorak sebegini dikenali sebagai “pendidikan inklusif”
  • Kanak-kanak khas dilindungi daripada sebarang elemen bercorak diskriminasi dalam penilaian pendidikan (Protection against discrimination in testing). Penilaian pendidikan dilaksanakan dalam pelbagai cara. Namun dengan terlaksananya undang-undang ini, penilaian ke atas kanak-kanak khas hendaklah mengambil kira ciri-ciri yang ada pada kanak-kanak khas dan hendaklah disesuaikan dengan kecacatan atau kekurangan mereka.
  • Penglibatan ibu bapa dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan setiap murid. Memberi dan membuka ruang kepada ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak khas untuk melibatkan diri dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan untuk anak-anak mereka. Hal ini tidak diberikan penumpuan sebelum ini.


Penyediaan rancangan pendidikan individu bagi setiap murid khas, iaitu guru pendidikan khas dikehendaki menyediakan rancangan pendidikan individu bagi setiap murid khas dengan mengikut prosedur yang ditetapkan. Hal ini bagi membolehkan guru merancang objektif yang hendak dicapai oleh murid khas dalam satu-satu jangka masa tertentu semasa kanak-kanak khas ini bersekolah dengan mengambil kira potensi dan kekurangan seseorang kanak-kanak khas. Dalam hal ini konsep ‘kolaboratif’ dalam pendidikan diamalkan iaitu satu konsep yang mana pelbagai pihak seperti ibu bapa, kaunselor dan guru, terlibat sama dalam merancang pendidikan murid-murid khas. 

Sebelum IDEA, ramai kanak-kanak seperti Michael tidak diberi peluang pendidikan Contohnya, pada tahun 1970, hanya seorang daripada lima kanak-kanak kurang upaya berpeluang pergi ke sekolah. Kebanyakkan negeri-negeri di Amerika Syarikat mempunyai undang-undang yang tidak membenarkan kanak-kanak pekak, buta, kecelaruan emosi atau kerencat mental menghadiri sekolah biasa. Oleh kerana IDEA, kini program intervensi awal disediakan untuk lebih 200,000 bayi dan kanak-kanak kurang upaya dan pada tahun 2000 di Amerika Syarikat. Kira-kira-kira 6.5 juta kanak-kanak dan belia menerima pendidikan khas dan perkhidmatan lain bagi memenuhi keperluan mereka. Lebih ramai pelajar kurang upaya menghadiri sekolah di kawasan perumahan masing masing yang dahulunya tidak terbuka untuk mereka. Pelajar kurang upaya yang belajar dalam kelas atau bangunan terasing telah berkurangan dan kini belajar bersama dengan pelajar lain. IDEA dilihat sebagai satu pembaharuan yang mana pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas diberi perhatian yang lebih khusus. Melalui akta ini juga konsep ‘pendidikan untuk semua’ dan ‘pendemokrasian pendidikan’ diperkemaskan dan ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak khas dilibatkan sama dalam perancangan keperluan pendidikan anak-anak mereka. Di samping itu konsep ‘kolaborasi’ dalam pendidikan yang membabitkan pihak dalam pelbagai kepakaran disepadukan untuk kepentingan masa depan kanak-kanak berkeperluan khas. Akta ini juga dijadikan asas panduan dalam pelaksanaan pendidikan khas di sesetengah negara lain.



Perkembangan Pendidikan Khas di Britian

Pada tahun 1974, Jawatankuasa Inkuiri Pendidikan Kanak-kanak Cacat Warnock ditubuhkan dengan tujuan mengkaji semula pendidikan khas di Britain. Laporan Warnock yang diumumkan pada 1978 banyak mempengaruhi perkembangan dan pembangunan pendidikan khas di Britain. Walaupun cadangan-cadangan yang dikemukan dalam laporan itu tidak dilaksanakan serta merta tetapi laporan Warnock dijadikan asas dalam pelaksanaan pendidikan khas dan cadangan-cadangan yang dikemukan dimasukkan dalam akta pendidikan pada tahun-tahun berikutnya. 

Umpamanya, sebelum laporan ini dikemukakan, konsep pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah berasaskan kepada ‘pengasingan’ iaitu kanak-kanak berkeperluan khas belajar di sekolah khas yang menyekat dan menghalang mereka daripada bergaul dengan kanak-kanak biasa. Laporan ini menekankan kepada konsep percampuran antara kanak-kanak berkeperluan khas dengan kanak-kanak biasa yang dikenali sebagai ‘integerasi’ atau ‘inklusif’ diperluaskan. Konsep integrasi atau inklusif menekankan bahawa kanak-kanak berkeperluan khas perlu belajar di sekolah harian biasa dan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak biasa. Dasar ini dilaksanakan dan diamalkan sehingga ke hari ini.

Dasar ini juga dijadikan panduan kepada negara-negara lain dalam melaksanakan pendidikan khas. Akta Pendidikan 1981 pula meletakkan kepentingan peranan ibu bapa dalam pelaksanaan pendidikan khas. Manakala Akta Kanak-kanak 1989 (Children’s Act, 1989) memperkukukan pelaksanaan pendidikan khas melalui dua perubahan yang ditekankan.

Pertama, amalan membuat diagnosis ke atas kanak-kanak berkeperluan khas yang sebelum ini dilakukan oleh hanya ahli perubatan dipinda kepada konsep ‘koloboratif’ iaitu, diagnosis dilakukan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam pendidikan khas mengikut kepakaran dan keperluan. Umpamanya, ahli psikologi pendidikan membuat diagnosis ke atas keperluan mengikuti pendidikan dan ahli patologi bahasa membuat penilaian terhadap keupayaan berbahasa ke atas kanak-kanak berkeperluan khas. Apa yang jelas, akta ini memberi ruang kepada pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran dalam menentukan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.

Keduanya, konsep ‘pengasingan’ tempat belajar kanak-kanak berkeperluan khas diganti dengan konsep integrasi atau inklusif iaitu kanak-kanak berkeperluan khas belajar bersama dengan kanak-kanak biasa dalam sekolah dan kelas yang sama. Kedua-dua akta (Akta Pendidikan 1981 dan Akta Kanak-kanak 1989) tersebut telah mengambil kira cadangan-cadangan dalam Laporan Warnock. Hal ini selari dengan apa yang berlaku di Amerika. Perubahan yang berlaku berkait rapat dengan kesedaran masyarakat dan dasar semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di Britain.


Skop Pendidikan Khas Di Malaysia

KEPELBAGAIAN ISTILAH BAGI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Kanak-kanak luar biasa (exceptional   children)
  • Kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak biasa; merangkumi mereka yang mengalami kesukaran dalam pembelajaran dan juga mereka yang menunjukkan pencapaian yang tinggi daripada kanak-kanak biasa.


Kanak-kanak kurang upaya (children with disabilities)
  • Kekurangan atau kehilangan fungsi anggota badan atau organ sering digunakan secara sinonim dgn mereka yang mempunyai ketidakupayaan atau ketidaksempurnaan.
  • Ketidakupayaan ini menghalang dan menghadkan keupayaan mereka dalam melaksanakan tugas-tugas yang dapat dilakukan oleh orang biasa.


Kanak-kanak yang mengalami kecacatan (handicapped Children)
  • Masalah yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai ketidakupayaan atau kecacatan ketika berinteraksi dengan dengan persekitaran.


Kanak-kanak berisiko (at risk children)
Mereka tidak mengalami kecacatan tetapi dianggap mempunyai kemungkinan yang besar mengalami sesuatu kecacatan. Mereka menghadapi masalah dalam kelas biasa dan berisiko untuk menjadi cacat.


PENGENALAN KEPADA PENDIDIKAN KHAS

Pendidikan khas bukan sahaja perlu diketahui oleh mereka yang terlibat bersama golongan kanak-kanak khas, tetapi perlu diketahui oleh setiap lapisan masyarakat, terutamanya para guru di sekolah. Ini penting bagi membantu para guru mengenal pasti kanak-kanak yang mungkin menghadapi masalah dalam pembelajaran yang dapat dikaitkan dengan faktor-faktor tertentu.


DEFINISI DAN KONSEP PENDIDIKAN KHAS

Pendidikan Khas ialah pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak dengan keperluan khas. Mereka termasuklah golongan yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran, serta yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan pintar cerdas.

Pendekatan definisi baharu kanak-kanak dengan keperluan khas menekankan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan, dan pencapaian kanak-kanak tersebut dalam kemahiran perkembangan (developmental skills). Pendekatan tradisi atau terdahulu menekankan kepada kecacatan dan ketidakupayaan individu.

  • “Special education means specially designed instruction that meets the unusual needs of exceptional children.” (Hallahan & Kauffman, 1994)

  • "...Pengajaran yang bercorak individu yang direka untuk memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. PK menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak dapat disediakan dalam kurikulum yang standardize atau biasa." (Culcatta, R.A., & Tompkins J.R. Fundamentals of Special Education, 1999)



FALSAFAH PENDIDIKAN KHAS:
  • "Pendidikan khas di Malaysai adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan peroduktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.”


OBJEKTIF PENDIDIKAN KHAS
  • Menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan khas untuk murid-murid dengan keperluan khas
  • Menyediakan pendidikan yang sesuai dan relevan kepada setiap murid dengan keperluan khas
  • Menyediakan peluang untuk mengembangkan bakat dan potensi murid dengan keperluan khas
  • Menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi dan terkini
  • Memastikan tenaga pengajar yang mencukupi dan terlatih dalam bidang pendidikan khas


CIRI-CIRI ‘KHAS’ PENDIDIKAN KHAS :
  • Guru-guru terlatih khas
  • Pendekatan pelbagai disiplin
  • Program pendidikan yang diindividukan (Individualized Education Programme)
  • Kurikulum yang khas
  • Objektif pengajaran yang nyata, bermakna, khusus dan bersifat jangka pendek.
  • Penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran
  • Penilaian kemajuan yang kerap dan berterusan, dan rekod penilaian yang sesuai
  • Kaedah pengajaran yang khas
  • Kaunseling ibu bapa


KHIDMAT YANG DISEDIAKAN 
OLEH KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT 
(Maklumat Pendidikan Khas 2007)

  • Cacat fizikal yang teruk
  • Rencatan akal sederhana dan teruk
  • Pelbagai kecacatan dan
  • Kecacatan yang tidak membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolah-sekolah yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia adalah:
  1. Sindrom Down
  2. Autisme ringan
  3. Attention Deficit Hyperaktif Disorder
  4. Terencat akal minimum
  5. Bermasalah pembelajaran spesifik (disleksia)



KONSEP PROGRAM KHAS MENURUT AKTA PENDIDIKAN 1996

Program Khas bererti:  
  • Satu program yang disediakan di sekolah khas* bagi murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran.
  • Program Percantuman/Integrasi di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran atau masalah pembelajaran; dan
  • Program Pendidikan Inklusif bagi murid-murid yang berkeperluan khas yang boleh menghadiri kelas biasa bersama-sama murid biasa.


Konsep Sekolah Khas menurut Akta Pendidikan 1961
  • Sekolah Khas ialah sekolah yang menyediakan layanan pendidikan yang khas untuk murid-murid yang kurang upaya.



SENARIO PENDIDIKAN KHAS

Akta Pendidikan 1996: Murid-murid berkeperluan khas di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan ditakrifkan sebagai murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang dimaksudkan ialah mereka yang ada masalah kognitif yang dianggap boleh diajar (educatable) dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal yang merangkumi:

  1. Kanak-kanak Down Syndrom
  2. Kanak-kanak Autistik Ringan
  3. Kanak-kanak kurang keupayaan mental
  4. Kanak-kanak bermasalah emosi
  5. Kanak-kanak bermasalah kesihatan
  6. Kanak-kanak kecelaruan bahasa dan pertuturan


1998: Jab. Pendidikan Khas diberi tanggungjawab mengendalikan Program Pendidikan Pemulihan Khas bagi kanak-kanak lembam (slow learner).


Syarat Penyertaan Program Khas:

Bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di Malaysia, kanak-kanak yang boleh dididik adalah layak untuk mengikuti  program khas, kecuali mereka yang:
  1. cacat angota tetapi mempunyai kebolehan mental untuk belajar seperti murid biasa
  2. mempunyai pelbagai kecacatan atau yang mengalami kecacatan anggota yang terlalau serius, atau yang terencat akal yang berat (homes/hospital/bawah JKM). Jadi murid berkeperluan khas adalah mereka yang boleh dididik jika mereka mampu mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain dan disahkan oleh panel yang terdiri daripada : pengamal perubatan, pegawai dari kementerian pendidikan dan pegawai dari JKM sebagai berupaya mengkuti program pendidikan kebangsaan.


PROGRAM PENDIDIKAN KHAS KPM
Dikendalikan oleh:
  1. J.P. Khas (JPK)
  2. J.P. Negeri (JPN)
  3. J.P. Teknikal (JPT)


3 jenis program:
  1. Sekolah Pendidikan Khas (SPK)
  2. Program Inklusif
  3. Program Pendidikan Khas Integrasi



STRUKTUR PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN KHAS
 
BAHAGIAN PENDIDIKAN KHAS, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Ditubuhkan pada 1 Oktober 1995 bertanggungjawab untuk:
  • merancang dan mengurus semua sekolah pendidikan khas rendah dan menengah,
  • merancang dan menyelaras semua program pendidikan khas integrasi (percantuman),
  • merancang, menyelaras dan menilai dasar- dasar dan peraturan dari segi peluang pendidikan yang seimbang, khidmat Bantu dan sokongan bagi pelajar pendidikan khas dan dasar pendidikan vokasional pendidikan khas
  • merancang kurikulum, aktiviti dan hal ehwal pendidikan khas,
  • menyediakan perancangan, penyelidikan dan penilaian pendidikan khas,
  • menyediakan perancangan latihan dan pembangunan staf, dan
  • menyelaras Program Pendidikan Pemulihan Khas.



PROGRAM PENDIDIKAN KHAS

Program pendidikan khas bererti (AKTA PENDIDIKAN 1996)
  • Satu program yang disediakan di sekolah khas bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran.
  • Satu program percantuman di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan atau kecacatan pendengaran atau masalah pembelajaran; dan
  • Satu program pendidikan inklusif bagi murid-murid yang berkeperluan khas yang boleh menghadiri kelas biasa bersama dengan murid-murid biasa.



JENIS PROGRAM PENDIDIKAN KHAS

SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS (SPK)
Di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Khas (JPK)
Sekolah yang menyediakan perkhidmatan khas untuk murid bermasalah pendengaran dan penglihatan (rendah dan menengah).

Prasekolah
Syarat kemasukan murid ke Program Prasekolah di Sekolah Pendidikan Khas ialah:
  • berumur tidak kurang dari lima (5) tahun
  • disahkan oleh pengamal perubatan
  • boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain.


Pendidikan Rendah
Syarat kemasukan murid ke Program PendidikanKhas Kementerian Pendidikan Malaysia ialah:
  • berumur 6+ hingga 14+ tahun
  • Tempoh minimum belajar: 6 tahun (tempoh ini boleh dilanjutkan hingga 2 tahun maksimum)
  • disahkan oleh pengamal perubatan, dan boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain.
  • Semua sekolah rendah pendidikan khas (masalah penglihatan & pendengaran) mengikuti aliran akademik dan menggunakan Kurikulum Kebangsaan. Mereka akan menduduki UPSR semasa Tahun Enam.
  • Kemudahan-kemudahan yang disediakan di peringkat sekolah rendah termasuklah asrama dan makan minum percuma, dan bantuan kewangan RM50 sebulan (bagi mereka yang berdaftar sebagai OKU).
  • Murid yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi boleh mengikuti kurikulum kebangsaan atau kurikulum alternatif


Pendidikan Menengah
Syarat kemasukan murid ke Program Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia ialah:
  • berumur 13+ hingga 19+ tahun
  • Tempoh minimum belajar: 5 tahun (tempoh ini boleh dilanjutkan hingga 2 tahun maksimum)
  • disahkan oleh pengamal perubatan
  • boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain.
  • Pendidikan menengah menyediakan 2 jenis aliran iaitu dan vokasional.
  • Murid bermasalah penglihatan dan pendengaran  boleh mengikuti pendidikan menengah aliran akademik di sekolah menengah yang mempunyai program Pendididkan Khas Integrasi atau  di Sekolah Pendidikan Khas (contoh: SMPK Persekutuan Pulau Pinang  atau SMPK Setapak)Mereka menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) spt murid di arus perdana. Manakala murid bermasalah pembelajaran 
  • mengikuti Program Khas Integrasi menengah dan penilaian dibuat berdasarkan pencapaian mereka di peringkat sekolah.
  • Selepas Tingkat 3, mereka diberi peluang untuk membuat pilihan untuk meneruskan pelajaran dalam bidang akademik atau vokasional. Murid bermasalah penglihatan akan menduduki SPM dan seterusnya mengambil STPM bagi yang layak.Mereka yang 
  • memilih aliran akademik boleh meneruskan pelajaran ke sekolah menengah pendidikan khas atau sekolah yang mempunyai program Pendidikan Khas Integrasi.


Pendidikan Pasca Menengah
Jabatan Pendidikan Teknikal juga memberi peluang kepada murid-murid bemasalah pendengaran untuk melanjutkan pelajaran di politeknik dengan menawarkan kursus-kursus teknikal, elektrik, perhotelan dan rekaan fesyen.

Politeknik yang terlibat ialah
  • Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
  • Politeknik Johor Bharu
  • Politeknik Shah Alam

Kursus yang ditawarkan ialah:
  • Penyelenggaraan mekanikal
  • Awam Pembinaan
  • Rekaan dan Fesyen dan Pakaian
  • Hotel dan KeteringRekabentuk grafik





PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI
Di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
  • Untuk murid bermasalah pembelajaran, pendengaran, dan penglihatan.
  • Untuk memastikan murid khas mendapat pendidikan dalam persekitaran terhadap yang minimum (LRE).
  • Murid ditempatkan di kelas khas di sekolah harian biasa supaya mereka dapat bergaul dengan murid biasa dan tidak rasa terpinggir.
  • Program diwujudkan di sekolah harian biasa (rendah, menengah, dan sekolah teknik/vokasional) yang menggunakan pendekatan pengajaran pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.



PROGRAM INKLUSIF (PI)

  • Peraturan Pendidikan 1997 (Akta Pendidikan 1996) mengakui hak murid berkeperluan khas untuk diinklusifkan dalam kelas biasa.Peraturan (2) menyebut, PI bermaksud: “…satu program pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan khas yang boleh menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid 
  • biasa.
  • Telah dimasukkan dalam Sasaran Kerja Utama (SKU) Kementerian Pendidikan pada tahun 2000 iaitu: “6.1 mengintegrasikan pelajar yang mempunyai keperluan khas di sekolah biasa.”
  • Ditadbir oleh JPN
  • Murid khas belajar bersama-sama pelajar normal dalam kelas biasa dan diajar oleh guru biasa serta dibantu oleh Guru Resos Pendidikan Khas.
  • Tujuannya adalah untuk membangkitkan perasaan memiliki dan dimiliki dan seterusnya mencetuskan semangat kekitaan, bekerjasama, bantu-membantu dan hidup bermasyarakat tanpa berperasaan menyingkirkan atau mengasingkan pihak kecil yang dibawa masuk.(Mohd Siraj Awang,1996)
  • Bertujuan menggalakkan interaksi antara pelajar khas dengan pelajar biasa di samping memperakui hak pendidikan yang sama untuk semua kanak-kanak tanpa mengambil kira perbezaan individu.
  • Diperkembangkan daripada amalan pendidikan integrasi untuk membolehkan murid khas belajar dalam iklim persekolahan senormal yang boleh.

Peraturan Pendidikan (PK) 1997 (Akta Pendidikan 1996) mengakui hak murid berkeperluan khas untuk diinklusifkan dalam kelas biasa.
Terdapat 2 jenis PI:
§  Inklusif Penuh
§  Inklusif Separa/Separuh Inklusif

Program PI dimulakan pada 1993 (3 orang pelajar ditempatkan di Ting. 6 Rendah di SM. Methodist (L), KL.
         1994- Pembukaan kelas PI secara projek perintis di 14 buah sekolah di seluruh negara (pemilihan pelajar adalah melalui program percantuman/sekolah khas, 2 atau 3 orang dalam 1 sekolah).
         1998- 53 buah sekolah rendah; 10 buah sekolah menengah
          1999- Jab. Teknikal melaksanakan Inklusif penuh untuk pelajar Masalah Pendengaran (24 orang di 11 S.M. Teknik/ Vokasional).
         2000- diubahsuai kepada separa inklusif, program diluaskan kepada murid Masalah Pembelajaran di S.M. Teknik/vokasional.
         3 buah Politeknik melaksanakan Inklusif bagi pelajar Masalah Pembelajaran pada Jun 2000.


 PROGRAM PEMULIHAN KHAS

   Merupakan program yanG disediakan bagi membantu murid-murid mengatasi masalah belajar yang khusus terutamanya dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M).  Murid yang telah dikesan dan dikenal pasti sebagai belum menguasai kemahiran asas 3M pada tahap satu akan mengikuti Program Pemulihan Khas. Program ini berada di hampir semua sekolah rendah. Program yang dijalankan ialah Program Pendidikan Pemulihan Khas Tahap Satu (PKTS).  Murid disaring dengan menggunakan IPP3M 1 (murid Tahun 1), IPP3M2 (murid Tahun 2), dan IPP3M 3 (murid Tahun 3).  Pendekatan pengajaran dan pembelajaran ialah dengan menggunakan sistem pengasingan sementara (withdrawal)


 PROGRAM BERMASALAH PEMBELAJARAN SPESIFIK DISLEKSIA

KPM mendefinisikan murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia sebagai murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid biasa tetapi mempunyai kesukaran yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca, dan menulis.

Syarat kemasukan ke program ini:
  • murid telah mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran pada tahun 1 sekurang-kurangnya 6 bulan,
  • murid telah mengikuti proses pemulihan sama ada pemulihan dalam bilik darjah atau pemulihan khas,
  • keputusan saringan menggunakan Instrumen Senarai Semak Disleksia (ISD) menunjukkan murid mengalami kebarangkalian disleksia, dan disahkan mengalami kebarangkalian disleksia oleh pengamal perubatan
  • Program rintis disleksia dilaksanakan pada tahun 2004:
  • 2 buah sekolah di setiap negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3 buah)
  • sebuah di Wilayah Persekutuan Labuan, menjadikan jumlah: 31 buah


Program ini dilaksanakan dengan menggunakan Model Pendidikan Khas Integrasi melalui kelas khas, pendekatan separa inklusif atau pengasingan



RUJUKAN
  • Buku Maklumat Pendidikan Khas 2007. Kementerian Pelajaran Malaysia
  • Chua Tee Tee & Koh Boh Boon (1992).  Pendidikan khas Dan pemulihan :  bacaan asas.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Data Pendidikan Khas 2010. Kementerian Pelajaran Malaysia
  • Kirk, S.A., Gallagher, J.J., & Anatasiow, N.J. (1993).  Educating exceptional  children (7th ed.).  Boston: Allyn and Bacon.